Khairul Faizi Ahmad Kamil

KUALA LUMPUR – Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) telah melaksanakan beberapa tindakan untuk membantu agensi kerajaan dan masyarakat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sehingga kelmarin, Khidmat Malaysia yang bergerak di peringkat negeri, kawasan dan Parlimen telah menyantuni seramai 107,439 keluarga dengan menyampaikan pelbagai sumbangan keperluan makanan harian.

Menurut Ketua Pengarahnya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, sebahagian daripada penerima juga diberikan saguhati kewangan berjumlah keseluruhannya sebanyak RM54,170.

Kata beliau, pihaknya dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) turut menyampaikan peralatan keselamatan kepada barisan depan di hospital dan klinik kesihatan.

“Setakat ini sebanyak 29,972 unit face shield, 9,140 unit medical glove, 2,508 unit isolation gown dan pelbagai lagi barangan telah diserahkan kepada hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

“Sebanyak 17,175 unit food pack telah diedarkan kepada pelbagai pihak khususnya pihak frontliner dan pihak keselamatan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Faizi mengingatkan sukarelawan yang terlibat dengan aktiviti penyampaian sumbangan supaya mematuhi dan menghormati arahan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob khususnya PKP yang akan bermula fasa ketiga esok.

Jelas beliau, Khidmat Malaysia di peringkat kawasan khususnya, digesa mengadakan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengagihkan sumbangan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast