Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Malaysia mencadangkan ASEAN merangka Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek kewangan, tetapi juga jaringan keselamatan sosial, jaminan makanan dan pendidikan kepada penduduk serantau.

Pelan Pemulihan Ekonomi ASEAN perlu mengandungi langkah-langkah untuk menjamin rangkaian bekalan kepada 600 juta penduduk rantau ini.

Ini termasuk memastikan kelancaran aliran bekalan untuk perubatan, makanan dan barang keperluan di samping prasarana kritikal untuk laluan perdagangan melalui udara, darat dan laut, menurut Pejabat Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyertai persidangan video Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai Covid-19, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc bersama-sama ketua-ketua kerajaan serantau yang lain.

Menurut kenyataan itu, Malaysia menekankan bahawa ada hikmah di sebalik setiap krisis kerana semua negara menghadapi masalah yang sama dan semua negara ASEAN perlu bekerjasama bagi memastikan tidak ada siapa yang tercicir.

ASEAN juga, katanya, perlu mengelak daripada mengenakan sebarang sekatan tidak perlu yang boleh menghalang kelancaran bekalan perubatan, makanan dan barang keperluan.

Malaysia menyeru ASEAN meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi landskap baharu di rantau ini yang mana ASEAN tidak boleh dibiarkan kembali ke zon selesa, sebaliknya membangunkan rantau Asia Tenggara sebagai pusat pertumbuhan dan kuasa baharu, bukan hanya untuk 600 juta penduduknya bahkan untuk seluruh dunia.

Kenyataan itu turut memaklumkan Malaysia menyokong pengwujudan Dana Khas Covid-19 ASEAN untuk meningkatkan skala stok kecemasan sedia ada bagi menghadapi kemungkinan wabak pada masa depan.

”ASEAN perlu terus membangunkan rizab bekalan perubatan serantau, selain menggunakan rezab gudang simpanan sedia ada yang relevan bagi membantu keperluan negara anggota ketika kecemasan kesihatan.

”Pelbagai mekanisme dan struktur ASEAN, yang diterajui oleh Malaysia, seperti Pusat Rangkaian Operasi Kecemasan ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Pusat Penilaian Risiko dan Komunikasi ASEAN (ARARC) telah terbukti dapat berfungsi dengan berkesan dalam mencari penyelesaian krisis,” katanya sambil menyatakan Malaysia sentiasa bersedia untuk memerangi pandemik ini bersama-sama anggota ASEAN yang lain. – MalaysiaGazette