MPKL akan memulangkan semula bayaran permit yang dibuat peniaga sebelum ini kerana bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi.

SHAH ALAM – Berikutan keputusan kerajaan tidak membenarkan bazar Ramadan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) akan memulangkan semula wang bayaran permit kepada peniaga.

Tindakan itu diambil MPKL kerana arahan sudah jelas bahawa semua perniagaan bazar Ramadan sepanjang bulan puasa bermula 24 April ini tidak dibenarkan.

Menurut Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A. Hamid, kutipan wang bayaran bagi permit itu dilakukan sebelum wabak Covid-19 menular bagi membolehkan peniaga kecil menjalankan perniagaan pada Ramadan ini.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan penularan wabak pandemik itu, kerajaan telah mengetatkan segala aktiviti perniagaan termasuk bazar Ramadan.

“Peniaga yang sudah membuat bayaran itu diminta melengkapkan maklumat peribadi melalui pautan ini,  https://forms.gle/RUQ7fwBfxb5QJ4Mg6 untuk tindakan lanjut.

“Mereka boleh pada bila-bila masa mengisi maklumat itu dan melengkapkan segala dokumen seperti diminta, bagi membolehkan wang mereka dikembalikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan berhubung perkara berkenaan boleh dibuat dengan menghubungi Jabatan Pelesenan MPKL melalui talian 03-31872825/116/150. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast