KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan tamat selepas 28 April ini atau dilanjutkan sehingga Jun, terletak pada nasihat dari Kementerian Kesihatan.
Jelas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tidak menolak kemungkinan PKP akan diteruskan sehingga Jun ini adalah pandangan peribadinya.
“Mengenai kenyataan KPN itu, ianya mungkin pandangan beliau, apa sekalipun keputusan terletak kepada nasihat Kementerian Kesihatan, (sama ada) sambung PKP atau tidak,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Abdul Hamid dalam kenyataannya kepada media dilaporkan berkata, PKP diteruskan sehingga Jun sekiranya rakyat masih berdegil dengan larangan PKP yang menyebabkan kes jangkitan Covid-19 bertambah.
Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak lupa bahawa PKP tidak akan dilonggarkan dan tindakan tangkapan akan dipergiatkan lagi kepada mereka yang melanggar arahan itu.
PKP fasa tiga yang bermula hari ini ialah tempoh penting dalam usaha negara memutuskan rantaian dan menghapuskan wabak Covid-19.
Menurut Ismail Sabri, pematuhan orang ramai sejak PKP satu dilaksanakan 18 Mac lalu sehingga PKP dua berakhir malam tadi, pematuhan orang ramai dengan arahan itu masih ditahap 97 peratus.
Kata beliau, setakat ini tiga peratus yang masih ingkar PKP dan berharap ia tidak berterusan kerana tindakan sangat tegas akan dikenakan mulai hari ini.
“Semalam memang banyak kereta bergerak di jalan raya melibatkan kawasan tertentu. Saya harap trend ini tidak berterusan dan tindakan yang kita ambil kali ini sangat tegas. Tidak ada toleransi dan kompromi lagi.
Mengenai perniagaan e-bazar, beliau berkata, mesyuarat Kabinet tadi memutuskan hanya membenarkan urusan pesanan secara atas talian dan hantar makanan ke rumah melalui e-hailing.
Katanya, dua konsep lagi yang dicadangkan iaitu pesan dan ambil di gerai serta beli secara pandu lalu masih dalam peringkat kajian serta perbincangan.
Bagaimanapun, beliau lebih bersetuju dengan pesan secara atas talian dan bekalan dihantarkan ke rumah berbanding orang ramai mengambil makanan di kedai atau pandu lalu yang mendorong kepada kesesakan kenderaan.
“Setakat ini pesan secara online dan dihantar ke rumah melalui e-hailing yang kita benarkan. Dua konsep lagi iaitu pesan dan ambil digerai serta pandu lalu masih diperhalusi oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette