SHAH ALAM – Kerajaan Selangor bersetuju meluaskan manfaat pemberian RM500 secara one-off kepada penjaja dan peniaga kecil di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) pagi ini untuk pemberian kepada peniaga berlesen yang menyewa premis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Ini melibatkan peniaga pasar tani, kiosk, semua jenis gerai, medan selera dan pasar awam yang dikuatkuasakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, UUK Pasar dan UUK Establishment Makanan sahaja,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Pada 4 April lalu, Amirudin mengumumkan permohonan bantuan insentif khas RM500 yang ditawarkan kerajaan negeri kepada penjaja dan peniaga kecil berlesen di negeri itu dibuka mulai 8 April.
Beliau dilaporkan berkata, untuk itu kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM40 juta bantuan khas kepada golongan berkenaan menerusi Pakej Selangor Prihatin Covid-19 fasa pertama.
Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan semua terlibat sentiasa mengamalkan kebersihan yang baik seperti sering mencuci tangan dan melakukan penjarakan sosial demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang bermula hari ini. – MalaysiaGazette
Masa PKP Covid19 pula lah Kerajaan Negeri minta bayar bil air. Sebelum ini bagi percuma tiba-tiba bulan Mac minta bayar pula.
Tidak tahu ke rakyat sekarang kena banyak guna Air. Tangan kena selalu basuh, kena kerap Mandi, pakaian pun kena selalu cuci hendak hantar dobi layan diri sudah tidak dibenarkan. Kalau MB dulu tidak macam ini.