Sebarang bentuk perniagaan bazar dan gerai Ramadan termasuk perkhidmatan pandu lalu dan tempah dan ambil tidak dibenarkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Sebarang bentuk perniagaan bazar dan gerai Ramadan termasuk perkhidmatan pandu lalu dan tempah dan ambil tidak dibenarkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, walaupun perkhidmatan bazar adalah dilarang namun perkhidmatan penghantaran makanan seperti Panda Food atau Grab Food masih dibenarkan seperti biasa.

“Katalah, kita buat bazar pandu lalu atau tempah dan ambil, kita mungkin melihat ramai penghantar-penghantar makanan akan berkumpul di bazar berkenaan untuk mengambil tempahan pelanggan. Kita tidak mahu contohnya 50 orang penghantar makanan berkumpul sekelompok.

“Gerai-gerai biasa juga tidak dibenarkan.

“Perkhidmatan penghantaran biasa tetap dibenarkan yang mana kedai atau restoran menyiapkan tempahan makanan sebelum para penghantar menghantar makanan tersebut kepada pelanggan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Sebelum ini terdapat cadangan supaya bazar Ramadan pandu lalu diadakan bagi menggantikan bazar ramadhan biasa bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, Kementerian Wilayah Persekutuan yang sebelum ini mahu bazar Ramadan menggunakan khidmat pandu lalu juga membatalkan cadangan itu walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sekalipun.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada apa jua bentuk bazar Ramadan di WP