Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR- Kerajaan mewajibkan semua pekerja syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjalani saringan Covid-19.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, majikan yang memohon untuk beroperasi semasa PKP mesti memastikan semua pekerja mereka menjalani saringan di lebih 3,000 panel klinik kesihatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di seluruh negara.

Ini jelasnya adalah untuk menjamin semua pekerja adalah bebas wabak Covid-19.

MITI juga katanya, telah mewajibkan supaya syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi mesti mengemukakan senarai pekerja yang terlibat semasa tempoh PKP.

Majikan juga perlu memastikan pergerakan pekerja terbabit hanya terhad dari rumah ke kilang/premis sahaja.

Syarikat hendaklah menyediakan alat saringan suhu badan atau thermal scanner serta saringan gejala batuk, sakit tekak atau sesak nafas.

Bacaan bagi setiap pekerja hendaklah direkod dan disimpan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan untuk rujukan.

“Pihak syarikat di dalam sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat-syarat Operasi Prosedur Standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing-masing.

MITI telah mendapat garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat dari KKM untuk diguna pakai oleh syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah Mohames Azmin, MITI turut bekerjasama dengan PDRM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memantau aktiviti industri yang wajib patuh kepada SOP yang ditetapkan.

“Kegagalan syarikat mematuhi SOP ini akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berhadapan dengan tindakan undang-undang mengikut Akta semasa,” tegasnya.- MalaysiaGazette