Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 16 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Kadar pesakit yang pulih daripada wabak Covid-19 di Malaysia melebihi kes positif baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sebanyak 119 kes disahkan bebas daripada jangkitan berjenaan hari ini dan dibenarkan pulang, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih daripada wabak itu adalah 2,766 kes atau 53.4 peratus.

Ujarnya, setakat jam 12 tengah hari, sebanyak 110 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 5,182 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,332 kes. Mereka diasingkan dan diberikan rawatan.

“Hingga kini, seramai 56 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) yang mana daripada jumlah itu sebanyak 29 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini hari ini.

Pada 14 April lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan jumlah yang pulih daripada jangkitan Covid-19 adaah seramai 202 kes, berbanding 170 kes baharu.

KKM sekali lagi mencatatkan perkembangan positif apabila kadar pesakit yang pulih daripada wabak terbabit ialah 169 kes, berbanding 85 kes baharu pada keesokannya.

Sementara itu terdapat pertambahan satu kes kematian Covid-19 di Malaysia menjadikan jumlah kumulatif kematian bagi kes itu 84 kes.

Kes kematian ke-84 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan darah tinggi.

Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 9 April lalu dan disahkan meninggal dunia pukul 12.55 tengah hari semalam. – MalaysiaGazette