Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Syarikat pembinaan yang berhasrat untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu menyediakan pengangkutan kepada pekerja dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Kenderaan tersebut perlu dinyah cemar kuman sebelum dan selepas digunakan, kata Menteri Kanan (Kluster Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tambahnya, syarikat hendaklah mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minimum atau tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah semasa yang diperlukan.

Selain itu, mereka juga perlu bekerjasama sepenuhnya dengan KKM dalam melaksanakan penjejakan kontak pekerja yang telah dijangkiti Covid-19.

“Pasukan penguat kuasa yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), CIDB, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah diwujudkan untuk memantau dan menguatkuasa pematuhan oleh syarikat yang diluluskan serta mengambil tindakan ke atas syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, bagi syarikat yang menyediakan kemudahan penginapan berpusat (CLQ) kepada pekerja, mereka perlu memastikan semua pekerja mematuhi Garis Panduan CLQ dan Penginapan Pekerja Binaan Semasa PKP.

Garis panduan tersebut dikeluarkan oleh CIDB serta mana-mana agensi yang berkaitan.-MalaysiaGazette