WELLINGTON- New Zealand akan meneruskan sekatan meskipun negara tersebut menamatkan perintah berkurung yang telah dikuatkuasakan selama sebulan.
Perdana Menterinya, Jacinda Ardern memberitahu, tindakan tersebut adalah bagi memastikan wabak koronavirus tidak terus tersebar.
New Zealand mengenakan langkah perintah berkurung paling tinggi iaitu paras keempat pada Mac yang mana kesemua pejabat, sekolah dan perkhidmatan tidak penting seperti bar, restoran, kafe dan taman permainan ditutup sepenuhnya.
Ia merupakan tindakan yang lebih tegas berbanding negara-negara lain termasuk jirannya, Australia yang mana di kebanyakan negara, masih terdapat perniagaan dibenarkan untuk beroperasi.
New Zealand akan membuat keputusan untuk menamat atau meneruskan perintah berkenaan pada 20 April ini.
Jelas Ardern, sekiranya negara tersebut memutuskan untuk menurunkan sekatan ke paras tiga yang mana beberapa jenis perniagaan boleh beroperasi dengan cara selamat namun masih tiada keperluan “untuk kembali kepada biasa.”
“Kita mempunyai peluang untuk melakukan sesuatu yang mana tiada negara yang telah berjaya menghapuskan virus berkenaan,” katanya semasa sidang media hari ini.
Tambahnya, sekatan paras tiga membenarkan orang ramai untuk kembali bekerja dan perniagaan dibuka semula sekiranya mereka mampu untuk berurusan tanpa hubungan (contactless).
Kedai, gedung membeli belah, kedai peralatan dan restoran akan tetap ditutup namun begitu mereka boleh menjalankan perniagaan secara dalam talian atau menerusi telefon.- MalaysiaGazette