Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1.2 juta pengguna di tujuh wilayah di Lembah Klang dan Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan penurunan paras air di kolam-kolam utama kawasan tersebut.

Penurunan paras air itu berlaku selepas kerja-kerja membersihkan pencemaran bau di Sungai Selangor yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihentitugas sementara mulai jam 11 malam tadi.

Loji-loji yang terlibat adalah LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Rantau Panjang.

“Henti tugas keempat-keempat LRA ini terpaksa dilakukan akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

“Sehingga jam 6 pagi ini, bacaan pencemaran bau telah berada di paras 0 ton dan kesemua loji telah kembali beroperasi semula pada jam 6.30 pag ini,” kata Air Selangor dalam kenyataan di sini.

Menurut syarikat itu lagi, tindakan pantas melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif di Bestari Jaya telah mempercepatlan aliran (flush out) air yang tercemar ke hilir Sungai Selangor sehingga tiada lagi pencemaran bau dikesan pada muka sauk di semua LRA tersebut.

Bagaimanapun, menurut Air Selangor, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di 1,292 kawasan melibatkan 1. 2 juta akaun pengguna di tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat  berikutan penurunan paras kolam-kolam  utama di kawasan tersebut

“Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan-kawasan gangguan bekalan kepada para pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunukasi Air Selangor,” kata kenyataan itu lagi.

Para pengguna juga dinasihatkan mengunakan air secara berhemat sepanjang tempoh tersebut. – MalaysiaGazette