Wan Mohamed Wan Embong

KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan sektor-sektor ekonomi tertentu beroperasi akan membantu memulihkan semula kedudukan ekonomi.

Presiden Persatuan Vendor Proton, Datuk Dr Wan Mohamed Wan Embong berkata, walaupun langkah MITI yang hanya membenarkan pekerja penting dalam sektor automotif bekerja semula namun ia telah memberi sebahagian kelonggaran dalam industri ini.

Menurut beliau, walaupun kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, tetapi pemulihan ekonomi masih panjang dan perlahan, malah lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan akan memberi tekanan kepada kebanyakan perniagaan.

”Kami mencari segala pendekatan untuk memastikan vendor tidak terjejas teruk. Semakin lama mereka tidak bekerja, semakin teruk keadaan.

”Berdasarkan maklum balas ahli kami, saluran perbankan yang mengendalikan pinjaman bantuan sebanyak RM 1 juta untuk komuniti perniagaan terlalu lambat. Ramai yang masih menunggu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Bank Negara Malaysia perlu mengkaji semula proses kelulusan.

Jelasnya, dalam keadaan mencabar yang belum pernah berlaku sebelum ini, institusi kewangan perlu mengenepikan pemprosesan permohonan pinjaman secara konvensional.

”Ikrar sokongan perniagaan tidak bermakna jika dana yang dijanjikan tidak sampai ke komuniti perniagaan pada waktu yang tepat. Potensi dapatan akan meruntuhkan rantaian bekalan.

”Kecuali untuk minoriti kecil, kebanyakan vendor sudah kehabisan simpanan kerana upah dan gaji perlu dibayar.

“Sementara menunggu pinjaman diperoleh, majoriti perlu menggunakan simpanan sendiri,” ujarnya.

Pada masa ini, industri automotif adalah salah satu sektor kritikal yang menyumbang 4.5- 5.0% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), justeru ia mempunyai kesan pengganda ekonomi yang tinggi dalam tenaga kerja sekitar 750, 000 orang.

Mengulas mengenai pemulihan ekonomi, Wan Mohamed percaya, pembuat dasar harus bijak menyeimbangkan antara usaha untuk mengurangi dan memerangi penyebaran koronavirus terhadap potensi kemelesetan ekonomi.

Walaupun lanjutan ketat yang berpanjangan dapat mengurangkan jangkitan, namun kos ekonomi yang berlebihan sangat mengerikan.

”Apa yang diperlukan adalah tindakan seimbang antara kehidupan dan kehilangan pengeluaran ekonomi.

”Walaupun ekonomi dijangka bangkit semula . Kami sedar bahawa syarat pertama untuk pemulihan ekonomi adalah penyelesaian kesihatan awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette