Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang melaksanakan operasi nyah cemas di hadapan kandang buaya di Zoo Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Meskipun tidak ada kes positif Covid-19 yang  menjangkiti haiwan setakat ini, namun kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil langkah awal dengan melaksanakan proses nyah kuman di Zoo Negara hari ini.

 Timbalan Menteri, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, tindakan itu merupakan  langkah pencegahan, dalam masa yang sama memastikan zoo yang merupakan tempat tumpuan awam  terus terhindar daripada wabak itu.

“Negara kita belum ada berlaku lagi haiwan dijangkiti dengan Covid-19 tetapi di negara luar ada umpamanya di Hong Kong sudah terkena pada anjing, di Belgium kepada kucing dan harimau di Amerika Syarikat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebelum operasi nyah kuman di Zoo Negara, Ampang hari ini.

Seramai 70  anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Alam Flora dan SWCorp yang terlibat dalam proses tersebut.

Ismail menyeru masyarakat sedar betapa penting usaha kerajaan secara menyeluruh untuk membendung wabak ini termasuklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Usaha kerajaan melakukan sekatan jalan raya bukan menyusahkan kita tetapi kita tidak mahu ia menjangkiti kita kerana kesannya buruk sekali,” tambahnya. MalaysiaGazette