Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri. foto IQBAL BASRI, 17 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan peruntukan khas zakat melebih RM34 juta bagi membantu golongan asnaf dan pihak-pihak yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, peruntukan khas itu digunakan bagi kegunaan meringankan beban ketika kerajaan berusaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Bagi tujuan tersebut, MAIWP berkolaborasi rapat dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam menyalurkan sumbangan kepada pihak-pihak yang memerlukan.

“Alhamdulillah kami nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak MAIWP telah memainkan peranan seperti ini melebihi RM30 juta telah disumbangkan dan ia meningkat dari semasa ke semasa.

“Kolaborasi dengan kementerian-kementerian lain terutamanya Kementerian Wilayah Persekutuan yang diterajui Tan Sri Annuar Musa amat akrab dan usaha seperti inilah akan diteruskan dari semasa ke semasa,” kata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peralatan untuk petugas barisan hadapan di sini hari ini.

Sumbangan tersebut diterima oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Sebanyak 250,000 keping penutup hidung, 40 unit alat pengukur suhu badan dan 50 botol cecair nyah kuman (hand sanitizer) berjumlah RM450,000 disumbangkan oleh MAIWP pada hari ini.

Hadir sama pada sesi penyerahan itu Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Al-Habshee dan Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

Baru-baru ini MAIWP turut memberikan bantuan berjumlah RM5 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk kegunaan pembelian barangan bagi menangani penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast