Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif IO Esports, Kenchi Yap (kiri) pada sidang media Program Selangor Cyber Games yang menerima kutipan derma sebanyak RM 36,488 bagi tabung Covid-19 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 17 APRIL 2020

SHAH ALAM – Selangor sedang meneliti untuk melaksanakan perniagaan e-Bazar pada Ramadan ini dengan konsep pesan dan hantar menerusi khidmat e-hailing, Food Panda dan Grab Food.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, kerajaan negeri akan mengambil kira pelbagai konsep termasuk penjarakan sosial dan tiada pergerakan orang ramai.

Katanya, setakat ini sebanyak 15 lokasi sesuai dalam penelitian pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pelaksanaan e-Bazar itu.

Beliau berkata, PBT juga telah memaklumkan kepada peniaga agar mengehadkan menu jualan supaya tidak berlaku pergerakan orang ramai untuk memilih juadah berbuka puasa.

“Memandangkan berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19, maka untuk Ramadan kali ini kerajaan negeri akan mengkaji dan meneliti untuk melaksanakan konsep e-Bazar, menggantikan Bazar Ramadan.

“Kaedah yang kita capai dan bersetuju setakat ini ialah pesan dan hantar. Orang ramai boleh memesan menu itu secara atas talian atau aplikasi Whatsapp dan perkhidmatan e-hailing akan menghantar ke rumah.

“Kita akan sediakan logistik yang teratur supaya konsep ini tidak melanggar PKP dan usaha memutuskan rantaiaan Covid-19 berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media menerima sumbangan kutipan derma dari program Selangor Cyber Games 2020 bagi Tabung Covid-19 Selangor di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khasnya memberitahu, sebarang bentuk perniagaan bazar dan gerai Ramadan termasuk perkhidmatan pandu lalu, tempah dan ambil tidak dibenarkan.

Beliau menegaskan, walaupun perkhidmatan bazar adalah dilarang, namun perkhidmatan penghantaran makanan seperti Panda Food atau Grab Food masih dibenarkan seperti biasa.

Menurut Aimrudin, setakat ini kerajaan Terengganu yang masih kekal dengan keputusannya melaksanakan e-Bazar melalui konsep pesan dan hantar secara e-hailing.

Kata beliau, kerajaan negeri akan memastikan pelaksanaan e-Bazar di negeri itu ini menepati arahan kerajaan Pusat dengan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa supaya tidak melanggar PKP.

“Cuma e-Bazar ini tidaklah seperti Bazar Ramadan sebelum ini, yang menyaksikan orang ramai mengunjungi dan bergerak dari gerai ke gerai untuk memilih menu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast