Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengajak orang ramai memberi sumbangan kepada Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Menerusi syarikat pengurusan kerjaya seninya, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd., Siti yang juga seorang usahawan berkata, dana itu sebagai inisiatif untuk membantu pejuang petugas barisan hadapan dan orang ramai yang terkesan dengan situasi penularan wabak Covid-19.

“Sebagai langkah permulaan, kami mensasarkan pengumpulan dana untuk keperluan segera dalam kategori Peduli iaitu sebanyak RM50,000.

“Jumlah sasaran ini akan dinaikkan dan berterusan memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan serta banyak jenis bantuan akan disalurkan.

“Kami yakin, bantuan kita semua akan dapat membantu perjuangan kita menentang Covid-19 sekarang. Terima kasih Malaysia. #KitaJagaKita,” kata penghibur ternama itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut menjelaskan kategori yang dibahagikan dalam Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Dato’ Sri Siti Nurhaliza:

1. PEDULI- Membantu menyediakan keperluan dan peralatan di pusat-pusat perubatan yang terlibat menangani COVID-19. Bantuan ini akan disalurkan seberapa segera apabila dana mencukupi bagi penyediaan PPE, topeng muka, sarung tangan dan peralatan-peralatan lain.

2. KEMANUSIAAN- Membantu individu dan keluarga yang terjejas pendapatan. Bantuan kepada keluarga yang terjejas pendapatan di samping itu mempunyai anggota keluarga OKU atau penyakit kronik.

3. PRIHATIN- Bantuan khusus sempena bulan Ramadan dan Syawal kepada golongan yang tidak berkemampuan serta badan-badan kebajikan.

Bagi maklumat lebih jelas dan perkongsian lanjut mengenai dana itu, Siti akan menjayakan Youtube Live P.K.P Siti Nurhaliza di saluran youtube Siti Official Video pada 19 April ini pukul 2.30 petang.

Para penonton YouTube boleh menderma dengan cara membuat imbasan Kod QR (QR Code) dan Siti akan menghiburkan mereka dengan nyanyian lagu-lagu pilihannya.

Untuk kempen bencana alam dan kecemasan (seperti Covid-19), Kitafund tidak mengenakan caj 5 peratus fi untuk platform.

Fi yang perlu dibayar adalah fi payment gateway yang akan ditolak dari jumlah keseluruhan terkumpul kempen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast