Amirudin Shari

SHAH ALAM – Pasangan bakal pengantin yang memohon untuk bernikah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini boleh merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Bagi kerajaan Selangor kebenaran untuk bernikah masih diteruskan, tetapi tertakluk pada keadaan dan kes sehingga pernikahan itu terpaksa dilakukan sepanjang PKP ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kebenaran untuk bernikah masih diteruskan di negeri itu, tetapi tertakluk kepada penilaian pihak Jais.

“Bakal pengantin boleh rujuk Jais. Pegawainya akan menilai setiap kes, sama ada wujud desakan atau kecemasan.

“Biasanya sepanjang Ramadan ini tidak ramai yang mohon untuk berkahwin, tetapi kita tengoklah keadaan dahulu, kalau PKP disambung lagi selepas Aidilfitri ini, kita akan bincang,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Baru-baru ini Jais mengesahkan sebanyak 1,003 permohonan pernikahan di negeri itu terpaksa ditangguh susulan PKP.

Unit korporat Jais berkata, semua bakal pengantin memahami situasi itu dan memberi kerjasama baik walaupun mereka terpaksa menunda pernikahan atas penularan Covid-19.

Pihaknya berharap pasangan bakal pengantin termasuk keluarga bersabar dan terus beri kerjasama dalam sama-sama mematuhi undang-undang sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Amirudin ditanya keputusan kerajaan negeri terhadap peperiksaan Sekolah Rendah Agama (SRA) di negeri itu.

Kata beliau, Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) akan bermesyuarat minggu depan untuk menentukan sama ada dibatalkan atau sebaliknya.

“Minggu depan Exco akan bermesyuarat dan akan menilai cadangan Jabatan Agama Negeri (JAIN) mengenai kedudukannya,” katanya.

Pada 15 April lalu, Menteri Kanan (Kluster Pendidikan), Dr. Mohd Radzi Md. Jidin mengumumkan pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini.

Pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid, sama juga PT3. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast