Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan ubat Remdesivir telah didaftarkan dan diluluskan penggunaannya sebagai ubat antiviral baharu merawat pesakit Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, penggunaan ubat berkenaan masih peringkat kajian dan sebarang laporan mengenai penggunaannya masih terlalu awal untuk diketahui.

“Remdesivir baru sahaja didaftarkan dan kita masih memantau penggunaan,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.

Penghujung Mac lalu, Noor Hisham berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih Malaysia bagi menjalankan kajian menguji keberkesanan ubat itu bagi merawat pesakit Covid-19.

Pemilihan Malaysia dibuat berikutan keupayaan KKM dalam menjalankan kajian klinikal.

Noor Hisham turut memberitahu, Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah bekalan ubat-ubatan yang turut digunakan dalam rawatan Covid-19.

“Kita tidak mempunyai masalah dan stok pun mencukupi untuk merawat pesakit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette