Seorang pekerja mencuci tingkap bangunan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat akan bersidang selama satu hari pada 18 Mei ini, kata Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat.

Menerusi surat yang dihantar secara emel kepada Ahli-Ahli Parlimen, beliau menyatakan, sesi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas ini tidak ada sesi pertanyaan jawab lisan.

Katanya, Parlimen akan bersidang selepas sahaja Yang di-Pertuan Agong selesai istiadat perasmian yang dijangka bermula jam 10 pagi.

“Istiadat perasmian Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong pada Isnin, 18 Mei jam 10 pagi.

“Mesyuarat Dewan Rakyat selama satu hari itu bermula selepas keberangkatan Yang di-Pertuan Agong meninggalkan majlis.

“Mesyuarat Dewan Rakyat akan diadakan di Dewan Mesyuarat Dewan Rakyat Bangunan Parimen,” katanya menerusi surat bertarikh 17 April 2020.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok mempertikaikan keputusan untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat selama sehari sahaja pada 18 Mei ini.

Beliau menyifatkannya sebagai bukti bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin takut berdepan dengan pembangkang yang sebelum ini dikatakan bakal membuat usul undi tidak percaya terhadapnya selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Riduan, persidangan dipendekkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Kata beliau, bagi mengekang penularan wabak Covid-19, maka persidangan Dewan Rakyat akan diadakan bagi membincangkan Rang Undang-Undang dan Usul Urusan Kerajaan sahaja.

Sehubungan itu, tiada sesi pertanyaan jawab lisan di bawah Peraturan Mesyuarat 22(2) dan 22(5).

Waktu Pertanyaan Menteri (Pertanyaan Mesyuarat 24(5A) dan (24A), Usul-usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17, 18, 27, 49 serta apa-apa usul daripada Ahli Yang Berhormat.

Oleh itu, katanya, semua pemberitahuan tersebut tidak perlu dihantar untuk mesyuarat ini. – MalaysiaGazette