Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain

KUALA LUMPUR – Kenyataan tidak matang Exco Armada Nasional terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pandangannya mengenai perjawatan khususnya kepada beberapa pimpinan UMNO Sabah, menggambarkan kekeliruan untuk menggarap maksud Kerajaan Perikatan Nasional.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir keliru bahawa kerajaan hari ini terbina atas sokongan dan dokongan daripada pelbagai parti termasuklah UMNO sebagai parti terbesar dalam perikatan.

Beliau mengakui bahawa pelantikan jawatan adalah hak prerogatif perdana menteri, namun, keprerogatifan itu berasaskan sokongan parti-parti politik lain yang percaya beliau akan berlaku adil, saksama dan lurus seperti lurusnya garisan pedang.

“Kami akan terus menilai keikhlasan Perdana Menteri untuk bersama-sama mentadbir negara ini khususnya di Sabah.

“Sebagai parti terbesar di negeri ini, maka sewajarnya Perdana Menteri menunjukkan kebijaksanaan dengan mempertimbangkan permintaan pemimpin-pemimpin Sabah,” katanya menjawab kenyataan Exco Armada Nasional itu, hari ini.

Abdul Aziz menyeru agar kepimpinan parti berkenaan termasuk exconya supaya belajar untuk menghormati kerahsiaan dan bersikap lebih profesional serta tidak menggunakan kesempatan dalam kesempitan untuk menangguk di air keruh kerana ianya tidak menguntungkan sama sekali.

Katanya, mereka perlu menghentikan sebarang kenyataan tidak matang yang boleh mengganggu-gugat kestabilan politik negara, yang sedang dinikmati ini.

Tambah beliau, kenyataan bahawa ramai pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabah yang lebih layak untuk mendapat jawatan adalah kenyataan yang angkuh dan bongkak serta menampakkan sisi jelas bahawa parti itu sedang mabuk dibuai kuasa hingga tidak wujud semangat berpasukan.

“Justeru, sikap mementingkan diri sendiri yang sedang dipupuk oleh pemimpin PPBM haruslah dibuang sekiranya kita ingin mengekalkan kestabilan politik yang baru terbina ini,” ujarnya.

Semalam, Mohd. Ashraf Mustaqim dalam kenyataannya kepada media meminta Ahmad Zahid jangan campur tangan secara berlebihan urusan pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin.

Beliau dilaporkan berkata, Presiden UMNO itu perlu menghormati Perdana Menteri dalam soal tuntutan perjawatan kerana ia hak prerogatifnya.

Dalam pada itu Abdul Aziz berkata, Ahmad Zahid hanya melaksanakan amanah sebagai presiden parti untuk menyampaikan kebimbangan para pemimpin UMNO Sabah yang merasakan seolah-olah dipinggirkan terutamanya dari segi pengagihan jawatan-jawatan penting dan strategik di Sabah.

Ujarnya, kebimbangan itu disuarakan dengan penuh hemah dan profesional dan bukannya dilakukan secara terbuka ataupun paksaan. – MalaysiaGazette