KUALA LUMPUR – Trend penyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) mengatur pergerakan bot dan kapal memasuki perairan negara seawal pagi menjelang matahari terbit mendorong Maritim Malaysia meningkatkan rondaan dalam ruang masa yang kritikal itu.

Tentunya inisiatif menggerakkan aset udara dan laut ketika orang lain masih diulit mimpi itu amat penting bagi memastikan perairan negara tidak dibolosi khususnya oleh rangkaian penyeludup PATI.

Bagi merealisasikan misi penting itu, seawal jam 5 pagi Leftenan Komander Maritim, Mohamad Azrol Saidi bersama pembantu juruterbang, Leftenan Madya Maritim Muhamad Khairul Anwar Farizul serta kru Bintara Kanan Maritim Sudin Appe bergegas memulakan tanggungjawab.

Kali ini mereka menerbangkan pesawat AW139 Maritim Malaysia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menuju laut lepas bagi rutin pemantauan sempadan perairan negara di utara Semenanjung.

Tinjauan udara awal pagi yang diketuai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah/Perlis, Kaptin Maritim Zulinda Ramly tidak lain tidak bukan bertujuan mengesan pergerakan mencurigakan di laut khususnya cubaan bot dan kapal untuk menyeludup masuk PATI serta aktiviti jenayah maritim.

Leftenan Komander Maritim, Mohamad Azrol Saidi bersama pembantu juruterbang, Leftenan Madya Maritim Muhamad Khairul Anwar Farizul serta kru Bintara Kanan Maritim Sudin Appe

Tugas itu selaras dengan peruntukkan undang-undang di bawah Akta APMM 2004, Seksyen 7(2)(i) untuk menyingkirkan mana-mana vesel yang dipercayai boleh mengancam kepentingan atau membahayakan ketenteraman dan kesejahteraan dalam Zon Maritim Malaysia.

Pada masa yang sama aset-aset Maritim Malaysia juga mempergiatkan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diturunkan kuasa kepada Agensi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Seksyen 3 Akta 342).

Menurut Kepten Zulinda, berdasarkan PKP, hanya aktiviti penangkapan ikan oleh bot-bot nelayan tempatan berlesen serta perkhidmatan penting seperti feri membawa keluar masuk pekerja sektor penting dan bekalan makanan sahaja, dibenarkan beroperasi.

Bagi perkhidmatan feri di Langkawi hanya satu sesi perjalanan sahaja iaitu feri keluar pada jam 11.00 pagi dan masuk pada jam 4.00 petang.

Beliau juga menjelaskan pergerakan vesel penjenayah maritim terutamanya penyeludup PATI ialah di awal pagi sebelum matahari terbit.

“Waktu awal pagi menjelang matahari terbit menjadi trend kepada penyeludup PATI dalam mengaturkan pergerakan bot dan kapal memasuki perairan negara. Ini merupakan ruang masa yang kritikal dalam pemantauan pergerakan mereka,” ujar Zulinda.

Berdasarkan trend tersebut Maritim Malaysia mengambil inisiatif menggerakkan aset udara dan laut pada waktu berkenaan bagi memastikan perairan negara tidak dibolosi khususnya oleh rangkaian penyeludup PATI.

Pada masa yang sama aset laut Maritim Malaysia KM Marudu, KM Mulia dan KM Marlin serta bot Petir siap siaga melaksanakan arahan bagi mengusir bot/kapal PATI atau menjejak dan menangkap penceroboh serta penjenayah di perairan negara.

Tinjauan hari ini  meliputi persekitaran Selat Cincin menghala ke barat dan terus ke sempadan perairan Thailand melibatkan jarak sejauh 40 batu nautika.

Cuaca berawan serta hujan di perairan tidak mematahkan semangat pemantau udara Maritim Malaysia untuk terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga perairan negara khususnya mengekang kemasukan PATI semasa PKP.

Menurut Zulinda, dalam menguatkuasakan PKP di persempadanan perairan utara negara, Maritim Kedah dan Perlis juga mengambil peluang ini untuk menilai keberkesanan Standard Operating Procedure (SOP) dalam pelaksanaan operasi bersepadu dengan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia khasnya SOP operasi Maritim Malaysia Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. – MalaysiaGazette