BANGKOK- Seramai 262 pekerja dari Thailand yang terkandas di Malaysia telah pulang ke rumah selepas lima sempadan di selatan dibuka semalam.
Menurut laporan Bangkok Post, kira-kira 3,000-4,000 orang lagi dijangka pulang selepas terkandas selama sebulan apabila kerajaan Malaysia menutup sempadan negara tersebut pada 18 Mac lalu sebagai usaha untuk membendung pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Thailand merancang untuk menghadkan jumlah rakyat yang boleh pulang ke negara berkenaan kepada 300 orang sahaja dalam masa sehari.
Ini bagi memastikan ujian saringan dan pengawalan Covid-19 dapat dilaksanakan secara efektif mengikut kemampuan kemudahan sedia ada.
Menurut Ketua Tentera Keempat Leftenan Jeneral Pornsak Poonsawat, pihak berkuasa mempunyai strategi tersendiri bagi mengawal kemungkinan terdapat warga Thai yang menyeludup masuk melalui sempadan.
“Sekiranya mereka memasuki negara secara haram, kami tetap akan menerima dan melayan mereka kerana mereka adalah rakyat Thai.
“Namun begi, mereka mesti dimasukkan ke dalam sistem rasmi dan dikenakan tindakan undang-undang kerana masuk ke Thailand secara haram,” katanya.
Pesalah akan didenda kerana memasuki negara secara haram sebelum dihantar pulang ke daerah masing-masing untuk dikuarantin selama 14 hari.-MalaysiaGazette