Pedro Sanchez. foto Reuters

MADRID – Kanak-kanak Sepanyol yang diperintah supaya tidak keluar rumah sejak 14 Mac lalu dalam usaha membendung penularan Covid-19 akan dibenarkan keluar rumah pada 27 April ini.

Perdana Menteri, Pedro Sanches yang melonggarkan arahan itu bertujuan membolehkan anak-anak ‘menghirup udara segar’.

Sepanyol merekodkan lebih 20,000 kematian akibat pandemik Covid-19 dan 200,000 kes jangkitan.

Dalam taklimat yang disiarkan di televisyen, Sanchez memaklumkan Sepanyol telah melalui “saat-saat paling ekstrem serangan wabak yang kejam itu”.

Tetapi beliau memaklumkan akan meminta Parlimen untuk melanjutkan sekatan perjalanan di Sepanyol hingga 9 Mei kerana penurunan kes jangkitan ‘masih rapuh’, justeru beliau enggan mengambil keputusan terburu-buru.

Semalam, sebanyak 565 lagi kematian dilaporkan, merosat berbanding ketika kemuncak kes.

Sejak Isnin lalu, Kerajaan Sepanyol telah memberi kebenaran kepada sektor pembinaan dan pembuatan untuk beroperasi semula.

Namun, sekatan perjalanan masih dikekalkan, dengan membenarkan golongan dewasa untuk membeli keperluan makanan dan farmasi.

Kanak-kanak dilarang sepenuhnya meninggalkan rumah.

Kira-kira lapan juta kanak-kanak Sepanyol telah menghabiskan masa selama lima minggu di rumah, mencetuskan rasa kurang senang berhubung risiko kesihatan mereka.

Kumpulan hak asasi manusia Sepanyol memberi amaran perintah tidak membenarkan kanak-kanak keluar rumah akan mencetuskan masalah kesihatan fizikal dan mental kepada kanak-kanak.

Minggu lalu, Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau, merayu supaya kerajaan membenarkan anak-anak bermain di luar.

“Mereka ini perlu dibenarkan keluar,” katanya.

Beberapa negara seperti Denmark sudah pun membuka semula sekolah bagi kanak-kanak di bawah 11 tahun.

Norway juga membuka sekolah untuk kanak-kanak tadika mulai hari Isnin manakala sekolah di Jerman dibuka pada 4 Mei ini.

Sweden pula tidak menutup sekolah sepanjang krisis.

Tetapi, negara-negara berkenaan tidak terjejas teruk dengan Covid-19 seperti mana yang dialami Sepanyol. – MalaysiaGazette