Azisman Alias

KUALA LUMPUR – Masih ada dalam kalangan rakyat di negara ini yang mementingkan diri sendiri dengan sengaja ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kesesakan jalan raya berlaku setiap kali ada sekatan jalan raya (SJR).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, kesesakan jalan raya itu bukan berpunca daripada anggota keselamatan seperti polis dan tentera yang bertugas.

“Kita bukan merayu kepada anda semua, kita nasihat dan beritahu anda semua untuk lebih bertimbang rasa. Jangan salahkan polis kerana berlakunya kesesakan jalan raya.

“Memang tugas kita untuk melakukan semakan secara rapi terhadap setiap pengguna jalan raya ketika musim PKP ini. Kita hanya jalankan tanggungjawab kita.

“Yang menjadikan sesetengah jalan itu sesak sehingga 1 kilometer atau lebih kerana pelbagai sebab. Antaranya, ada yang suka potong barisan, ada juga yang selalu keluar begitu awal semata-mata dengan alasan hendak beli barangan asas seawal jam 7 pagi.

“Itu yang berlakunya pertembungan dengan kumpulan essential yang telah diberikan kebenaran untuk keluar bekerja, ada juga kenderaan perdagangan juga di jalan ketika itu. Anggota juga terpaksa periksa semua.

“Kesesakan ini bermula dari 7 pagi sehingga 10 pagi adakalanya sehingga 12 tengah hari juga. Sebelah petang pula, ada kalanya dari jam 4 dan 5 petang sehingga 9 malam.

“Memang saya tidak menafikan ramai yang keluar ini mempunyai sebab kukuh, ada dokumentasi keluar kerja, ada juga golongan bukan essential keluar beli barang-barang asas dengan jumlah yang besar, tentulah polis kena melepaskan mereka,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Sambung Azisman, sebenarnya kumpulan non essential  jauh lebih besar berada di atas jalan raya sehingga keadaan lebih sesak.

“Mengapa keluar pada waktu-waktu yang mana kumpulan keluar bekerja ini dalam perjalananan ke destinasi kerja? Mengapa tidak anda keluar keluar selepas waktu itu?

“Rata-rata yang keluar ini juga selalu sahaja beri alasan hendak beli barangan keperluan, saya jua tidak tolak kemungkinan ada juga bohong, ada juga keluar dari radius lebih 10 kilometer juga.

“Banyaklah alasan yang diberikan. Memang kita kena bagi apa lagi jika hendak beli barangan asas serta keperluan tetapi mengapa perlu berlakunya pertembungan kemudian kesesakan yang luar biasa?

“Anda boleh pilih untuk tidak terburu-buru keluar pagi beli barangan. Juga nasihat kepada kenderaan perdagangan supaya mengubah waktu penghantaran barangan pada sebelah malam sehingga awal pagi ketika tiada kenderaan terutamanya lokasi-lokasi hotspot.

“Pihak JSPT juga telah menubuhkan jammed squad yang akan bertindak untuk menyuraikan kesesakan luar biasa di lokasi hot spot yang dikenalpasti. Sebenarnya boleh jika kamu bertimbang rasa, semuanya boleh,” ujarnya lagi.

Antara lokasi hotspot yang menjadi mengalami kesesakan luar biasa adalah seperti berikut;

KUALA LUMPUR ( 6 SJR)

SJR Jln Cheras hadapan Cheras Eko Mall

SJR Jalan Travers menghala ke Bangsar

SJR Lebuh Raya Bukit Jalil menuju ke Seremban Highway

SJR Jln Kuching naik ke susur Jln Sultan Ismail

SRJ Seremban Highway menuju ke Pusat Bandar

SELANGOR (5 SJR)

SJR Jln Sungai Buloh- Kepong ( Seira Mas)

SJR Sg Ramal Putrajaya

SJR IOI Mall Puchong

SJR MMR2 dari Kepong ke Bulatan Batu Caves

SJR Petaling Jaya Jalan Persekutuan (Pintu Gerbang)

MELAKA (4 SJR)

SJR Limbungan

SJR Malim/ Balai Panjang

SJR Lebuh AMJ/Semabuk

SJR Batu Berendam

JOHOR (SJR 1)

SJR Pantai Lido –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast