KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kesal dengan laporan sebuah stesen televisyen swasta berhubung langkah jabatan itu yang memberi kebenaran bernikah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini kerana, wartawan yang terlibat dalam melaporkan perkara itu tidak merujuk kepada JAIS terlebih dahulu bagi mendapatkan fakta tepat sebelum menyiarkannya kepada umum, kata Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad.

Akibatnya, kata beliau segmen yang disiarkan bukan sahaja bersifat berat sebelah bahkan telah mempersoal dan mempertikai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta bersikap tidak adil kepada JAIS.

“Segmen disiarkan semalam bukan sahaja bersifat berat sebelah, bahkan mempersoal dan mempertikai perintah atau titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan pada masa sama, bersikap tidak adil kepada Jais,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi jabatan itu.

Justeru, JAIS menggesa supaya stesen televisyen terbabit membuat pembetulan mengenai perkara tersebut secara terbuka menerusi siaran berita perdananya pada pukul 8 malam dengan kadar segera.

Baru-baru ini, JAIS membenarkan pasangan yang sudah mendapat Kebenaran Berkahwin untuk melangsungkan akad nikah dalam tempoh PKP.

Kebenaran khas akad nikah itu diberikan selepas mengambil kira situasi semasa dan mendapat perkenan Sultan Sharafuddin yang merupakan ketua agama di negeri itu. – MalaysiaGazette