Seorang petugas media terpaksa mengelakkan diri daripada terkena semburan cecair nyah-cemar sewaktu petugas Alam Flora melakukan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di sekitar Pasar Pudu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR- Kerajaan diminta untuk menimbang pemberian bantuan sara hidup kepada petugas media yang membuat liputan Covid-19.

Menurut Ketua Biro Perpaduan Kebangsaan Parti Gerakan, H. Puvaniten, negara banyak bergantung kepada laporan media untuk menyebarkan maklumat berhubung status terkini wabak Covid-19.

“Situasi yang dihadapi oleh para petugas media harus diberi perhatian khas memandangkan perlanjutan satu fasa ke fasa yang lain.

“Pendapatan mereka banyak bergantung kepada organisasi-organisasi berita masing-masing. Maka, persoalanan tanggungan keluarga pihak media pun harus kita fikirkan di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Puvaniten berkata, sumbangan tersebut boleh diserahkan kepada petugas media dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Proses serahan bantuan tersebut ujarnya, perlulah dipastikan tidak sukar dan perlu diagihkan kepada semua petugas termasuk berstatus kontrak atau piece meal (pemberita yang dibayar gaji hari).

Beliau turut menyarankan supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya mengambil berat tentang keberadaan media penyiaran dan bercetak di lokasi-lokasi pemberitaan.

“Ini bagi memastikan keselamatan dan kebajikan para petugas media dijaga sewaktu kritikal wabak ini. Jangan sekadar melihat sumbangan pemberitaan sahaja malah perlu melihat bagaimana petugas-petugas media berkorban untuk membuat liputan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast