KUALA LUMPUR- Kerajaan Selangor akan memulakan program Saringan Komuniti Covid-19 pusingan keempat bermula esok sehingga 23 April ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shaari berkata, kira-kira 2,200 sampel disasarkan dapat diambil pada program yang melibatkan tiga lokaliti iaitu Sepang, Hulu Selangor dan Gombak.
“Setakat ini, inisiatif saringan komuniti ini telah berjaya melaksanakan penyaringan ke atas 3,011 orang dengan jumlah kes positif Covid-19 yang terkumpul adalah sebanyak lima kes.
“Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pejuang baris hadapan yang terdiri daripada para sukarelawan SELCARE Clinic, Pejabat Kesihatan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Amirudin, ujian saringan di Sepang akan dijalankan di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi esok bermula 9 pagi hingga 6 petang.
Bagi Hulu Selangor pula, ujian saringan akan diadakan di Bukit Beruntung Golf Club pada Rabu, bermula 9 pagi hingga 6 petang.
Ujian saringan bagi Gombak akan dijalankan di Pejabat Daerah Gombak selama dua hari iaitu pada Rabu dan Khamis ini bermula 9 pagi hingga 6 petang.
Saringan pandu lalu itu percuma kepada golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang bergejala.-MalaysiaGazette