KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd. (FGV) mengesahkan tiada kakitangannya di Wilayah Sahabat, Lahad Datu, Sabah dijangkiti Covid-19.
Menurut syarikat peladangan kelapa sawit terbesar di Malaysia, FGV sentiasa memastikan tahap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan para kakitangan dan pekerjanya terjaga.
Ia juga akan terus berhati-hati dan berusaha dalam membendung penularan wabak Covid-19.
Pada 18 April lalu, kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan wabak Covid-19 positif di Wilayah Sahabat.
Katanya, susulan pengumuman terbaharu mengenai Lahad Datu yang diisytiharkan sebagai zon merah Covid-19, FGV telah mengambil beberapa langkah proaktif di Wilayah Sahabat sejajar dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Semua pergerakan dalam operasi Wilayah Sahabat dikawal dan dipantau ketat, katanya.
Syarikat itu juga bekerjasama rapat dengan pihak polis dan pasukan polis bantuan FGV bagi memastikan pematuhan terhadap perintah tersebut diikuti.
Wilayah Sahabat terdiri daripada ladang seluas 115.432 hektar yang merangkumi tujuh kilang sawit dan 48 estet.
FGV juga telah secara sukarela menggantung operasi lima kilangnya di kawasan berkenaan.
Ini termasuk mengasingkan empat pekerja daripada dua kilangnya kerana menjadi orang dalam siasatan (PUI).
Tiga lagi kilangnya ditutup sebagai langkah awam ekoran jaraknya yang hampir dengan operasi Felda yang terjejas. -MalaysiaGazette