KUALA LUMPUR- Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) menafikan diberi subsidi oleh kerajaan dan memonopoli beras import.
Menurut kenyataan Bernas, harga jualan beras putih tempatan dan beras import masih tidak berubah sejak beberapa tahun lepas walaupun harga bahan itu sudah melonjak berikutan wabak Covid-19.
Sebarang lebihan harga kos atau operasi dibiayai oleh Bernas sendiri, tegasnya.
“Bernas tetap terus komited untuk memantau serta memastikan harga pasaran beras kekal stabil serta berpatutan. Sebarang lebihan harga kos atau operasi akan dibiayai oleh Bernas sendiri.
“Ingin diperjelaskan di sini bahawa kenyataan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengenai Bernas diberikan subsidi dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) memonopoli beras import adalah sangat tidak berasas,” ujarnya.
Tambah Bernas, mereka masih komited untuk keselamatan dan bekalan makanan adalah terkawal dan beras mudah diperolehi pada harga yang sama di pasaran runcit meskipun harga bahan itu melonjak di pasaran global.
Baru-baru ini sebuah portal melaporkan dakwaan MTEM yang mengatakan terdapat aduan daripada Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) dan ahlinya yang terlibat dalam bidang pemborongan beras tertekan akibat kenaikan harga borong beras.
Tambahnya, harga borong beras didakwa sudah naik di antara 20 sen sehingga 40 sen.
Persatuan tersebut tidak boleh menjualnya semula pada harga yang lebih tinggi di pasaran. – MalaysiaGazette