Gambar hiasan

NEW YORK – Harga niaga hadapan minyak Brent menjunam lagi – meningkatkan lagi panik pasaran minyak pada hari kedua selepas kejatuhan West Texas Intermediate semalam.

Penurunan itu disebabkan kejatuhan permintaan terhadap bahan bakar ekoran pandemik koronavirus.

Semalam dan hari ini merupakan dua hari paling bergolak dalam sejarah perdagangan minyak selepas para pelabur menghadapi kenyataan bahawa penawaran di seluruh dunia akan mengatasi permintaan selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun serta langkah pengurangan pengeluaran yang dilakukan sekarang tidak mencukupi.

Selepas kontrak penanda aras minyak Amerika Syarikat (AS) menjunam ke paras negatif untuk pertama kalinya dalam sejarah, hari ini menyaksikan lebih dari 2 juta kontrak untuk minyak mentah AS bagi penghantaran pada bulan Jun bertukar tangan – hari tersibuk dalam sejarah, menurut CME Group.

Niaga hadapan Brent untuk penghantaran Jun turun 24% kepada AS$ 19.33 setong, terendah sejak Februari 2002.

Manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) untuk bulan Jun jatuh sebanyak AS$8.86, atau 43%, kepada AS$11.57.

Kontrak Mei minyak mentah AS yang berakhir pada hari Selasa, pulih kepada AS$ 10.01 daripada harga penutup sehari sebelumnya -AS$ 37.63.

Inventori minyak telah bertambah selama berminggu-minggu setelah Arab Saudi dan Rusia gagal mencapai kesepakatan untuk melanjutkan pengurangan minyak ketika pandemik koronavirus semakin teruk pada bulan lalu,

Penularan wabak ini telah menurunkan permintaan bahan bakar sekitar 30% di seluruh dunia.

Organisasi Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya, termasuk Rusia, akhirnya mengumumkan pemotongan pengeluaran yang besar pada awal April, hampir 10% daripada bekalan global.

Tetapi ketika itu ekonomi hampir terhenti kerana sekatan yang dilakukan bagi memutuskan rantaian koronavirus. – MalaysiaGazette