SHAH ALAM – Selepas dua kali melakukan kesalahan menyebabkan pencemaran Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA), kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak meroboh dan menyita premis berkaitan dengan projek ternakan ikan keli.
Beberapa jentera dihantar ke kawasan premis berkenaan di Gombak untuk kerja perobohan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dengan pemantauan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Menurut jurucakap SPAN, tindakan itu diambil selepas mendapati projek ternakan ikan keli itu menjadi punca kepada pencemaran sumber air LRA Sungai Selangor.
Berikutan itu, katanya, pihaknya terpaksa menutup LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3 pada 17 April lalu dan menjejaskan lebih 400,000 pengguna air bersih Selangor.
“Rentetan kejadian pencemaran bau yang memaksa penutupan LRA itu, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah mengambil tindakan pantas dengan meroboh dan menyita lokasi tersebut sepenuhnya.
“Kerja penyitaan dan perobohan yang dilaksanakan turut disertai Bahagian Penguatkuasaan SPAN dan tindakan diambil adalah berdasarkan lunas undang-undang sedia ada,” katanya menerusi akaun Facebook SPAN, semalam.
Menurut kenyataan itu, selain tindakan dari Pejabat Daerah, semua agensi yang terlibat turut mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Akta masing-masing bagi memastikan pihak terbabit menerima hukuman setimpal.
Katanya, SPAN merakamkan penghargaan kepada semua agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), polis, Pengurusan Air Selangor dan kerajaan negeri melalui Unit Pengurusan Bencana Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
“Semua agensi ini telah memberi komitmen dan kerjasama erat dalam memastikan sumber air kita sentiasa terpelihara demi kelestarian bekalan air kepada para pengguna.
“Tindakan perobohan dan penyitaan ini adalah isyarat jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mencemarkan sumber air di negara ini,” katanya.
SPAN sentiasa bersedia setiap masa walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan tiada sebarang aktiviti mengganggu gugat sistem bekalan air di negara ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: