Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan tidak bercadang untuk campur tangan urusan berkaitan pembayaran balik wang pendahuluan bazar Ramadan yang antara persatuan penjaja dengan peniaga.

Bagaimanapun, menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam keadaan peniaga dan penjaja sukar berniaga serta memerlukan wang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih baik bayaran balik pendahuluan itu diselesaikan segera.

Kata beliau, apa sahaja urusan melibatkan sebarang pembayaran antara persatuan penjaja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah diselesaikan dengan baik.

“Kita buat keputusan, DBKL pulangkan semula bayaran yang dikenakan sebelum ini kepada persatuan penjaja. Saya dimaklumkan, DBKL sudah pun menyelesaikan bayaran itu.

“Tinggal lagi isu antara persatuan penjaja dengan peniaga. Itu, saya tidak berhasrat untuk campur tangan dan berharap kedua-dua pihak dapat selesaikan dengan cara baik,” katanya pada sidang Live Facebook hari ini.

Annuar berkata, pada mulanya DBKL bercadang untuk membawa bayaran dari persatuan penjaja itu pada Ramadan tahun hadapan, tetapi memandangkan peniaga memerlukan wang, cadangan itu dibatalkan dan diserahkan semula kepada persatuan.

Menurut Annuar, kutipan itu dibuat antara DBKL dengan persatuan penjaja setelah kementerian merancang untuk mengadakan jualan Ramadan menerusi tiga konsep iaitu bazar, e-hailing dan pandu lalu.

Tetapi, memandangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti jualan sepanjang PKP, termasuk tiga konsep itu maka semua perancangan dan cadangan terpaksa dibatalkan.

Mengenai penyertaan peniaga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur, Annuar menjelaskan, proses bancian sedang dilakukan ketika ini untuk mengenal pasti status kewarganegaraan.

“Bancian itu dibuat untuk kita tahu siapa warganegara Malaysia, siapa yang bukan warganegara atau pelarian atau pemegang kad UNCHR dan siapa dianggap pendatang asing tanpa dokumen yang sah.

“Kerja bancian itu sedang disemak dan apa-apa langkah yang akan diambil adalah menurut undang-undang. Kita tidak berhasrat melihat undang-undang diperkecilkan,” katanya.

Menjawab soalan netizen adakah konsep “Bandar Bebas Plastik” akan diteruskan walaupun dalam tempoh PKP, katanya, ia diteruskan dengan sedikit kelonggaran.

Kata beliau, dasar untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan “Bandar Bebas Plastik” akan diteruskan.

“Tetapi dalam tempoh PKP ini kita beri ruang kelegaan kerana kesukaran untuk mendapatkan bahan bio bukan berasaskan plastik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast