KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Pos Renap, Tanah Merah, Kelantan berjaya menumpas tiga kegiatan penyeludupan petrol dan minyak masak ke Thailand semalam.
Dalam kes pertama, anggota tentera yang membuat rondaan sempadan di Pengkalan Haram Jagung, Rantau Panjang menemui lima tong plastik berisi kira-kira 150 liter petrol.
Menurut jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pasir Mas, tong berisi petrol itu dipercayai hendak diseludup ke negara jiran itu diletakkan sementara di tepi pangkalan berkenaan.
Katanya, kes kedua pula berlaku aktiviti penyeludupan minyak masak di Pengkalan Haram Tok O, Rantau Panjang.
“Ketika anggota tentera membuat rondaan, mereka melihat tiga lelaki melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Putra tanpa nombor pendaftaran.
“Hasil pemeriksaan di lokasi yang dikatakan tempat pemberhentian lelaki terbabit, anggota tentera menemui tiga kotak minyak masak dengan anggaran 51 kilogram disyaki hendak diseludup ke Thailand,” katanya di Tanah Merah hari ini.
Menurut jurucakap itu, pada masa sama, anggota tentera juga menemui dua kotak minyak masak dianggarkan seberat 34 kilogram di Pos Kajang, Rantau Panjang.
Katanya, seorang lelaki berjaya melarikan diri dengan menunggang motosikal selepas terserempak dengan anggota tentera yang bertugas dan tidak sempat membawa minyak masak berkenaan.
“Ketika rondaan dijalankan, seorang lelaki melarikan diri dengan menunggang motosikal sambil membuang dua kotak minyak masak.
“Tiga kes itu berlaku pada hari sama dan semua kes berkenaan didaftar bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, sebelum diserahkan kepada KPDNHEP Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette