Etnik Rohingya mengaminkan doa selepas selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Myanmar didesak untuk menamatkan dasarnya yang melaksanakan pengusiran dan diskriminasi ke atas masyarakat Rohingya dengan meminda semula Burma Citizenship Law yang diluluskan pada 1982.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaludin, ia bagi membolehkan masyarakat Rohingya diiktiraf sebagai warganegara Myanmar berdasarkan bukti yang ada termasuk faktor sejarah.

“Rohingya juga wajar diberi perhatian lebih adil oleh masyarakat Islam dunia, khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Pertubuhan ini tidak harus sekadar “mengutuk” kezaliman yang berlaku malah harus bertindak dengan lebih efektif dan proaktif dalam menangani isu ini.

“Negara Asean juga harus membantu menyelesaikan konflik yang berlaku di Myanmar sebagai salah satu anggota Asean,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Fairuz Jamaludin
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaludin

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memberi sokongan berterusan kepada golongan minoriti ini dan menggesa Myanmar melakukan perubahan dasarnya terhadap golongan Rohingya yang tertindas.

Bagi tujuan itu, Malaysia harus memprotes tindakan kekejaman ini dengan cara menggantung sementara urusan dagangan Malaysia-Myanmar dan menutup kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.

“Kerajaan Malaysia juga harus menghantar pasukan bantuan kemanusiaan dengan mendesak kerajaan Myanmar untuk bekerjasama.

“Hadiah Keamanan Nobel yang dianugerahkan kepada Aung San Su Kyii juga harus ditarik balik kerana berdiam diri atas kekejaman dan pembantaian kerajaan Myanmar terhadap umat Islam di Rohingya.

“Penyelesaian tuntas isu ini pada dasarnya tetap berbalik kepada PBB. Mereka ini lebih berkuasa. Jika PBB dapat menghentikan penindasan kerajaan Myanmar di Rakhine, nescaya etnik-etnik ini tidak lari merata tempat di dunia,” katanya.

Katanya lagi, tidak sewajarnya mana-mana pihak mengecam Kerajaan Malaysia yang sebelum ini menghalang kemasukan beramai-ramai masyarakat Rohingnya mendarat di perairan negara.

“Kepada NGO yang kecam kerajaan. Lupakah anda bahawa Malaysia telah pun memberi pelbagai bantuan kepada etnik ini?

“Selain memberi bantuan kemanusiaan dan memberi perlindungan kepada hampir 100,000 pelarian Rohingya yang berdaftar, Malaysia turut mengendalikan sebuah hospital lapangan di Cox’s Bazar (Kem Pelarian di Bangladesh).

“Walau bagaimanapun, bantuan-bantuan makanan, minuman dan sebagainya telah pun diberikan kepada kapal-kapal mereka. Cukuplah begitu,” katanya.

Tambahnya, ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19 ini, tindakan kerajaan itu juga sebenarnya melibatkan keselamatan nasional.

“Jika seorang daripada mereka merupakan pembawa wabak ini, sudah tentu penyebaran akan berlaku di Malaysia.

“Selain daripada isu Covid-19, etnik Rohingya ini juga memberi ancaman keselamatan lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast