Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mempertingkatkan pemantauan ke atas pekerja-pekerja syarikat penerbangan susulan kebimbangan kakitangan berhubung prosedur standard operasi (SOP) saringan yang dijalankan.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mendakwa masih menerima laporan daripada anak-anak kapal yang memaklumkan mereka hanya dikuarantinkan selama 72 jam dan tempoh itu bertentangan dengan garis panduan 14 hari yang ditetapkan oleh KKM.

Lantaran itu, NUFAM sekali lagi merayu supaya KKM menyiasat  aduan-aduan yang telah pun dikemukakan kepada kementerian berkenaan.

“Ini adalah rayuan NUFAM setelah kenyataan kebimbangan kami dan anak-anak kapal tidak diberi perhatian sewajarnya.

”Selain kepada KKM, NUFAM juga telah menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan dan Majlis Keselamatan Negara memohon agar memastikan semua syarikat penerbangan mematuhi garis panduan Covid-19

”Paling penting semua pekerja yang baru balik bertugas dari luar negara terutama negara-negara yang mengalami wabak Covid-19 harus mengambil ujian dan saringan dengan sempurna sempurna bagi memastikan mereka bebas sebarang gejala,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Artikel berkaitan: NUFAM minta KKM perjelas proses saringan koronavirus secara terperinci

NUFAM kesal syarikat penerbangan abai keselamatan kru kabin

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan berhubung langkah terbaik yang perlu dilakukan terhadap anak-anak kapal yang pulang dari luar negara.

Langkah-langkah perlu dilakukan sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa ini anak-anak kapal yang terlibat dengan pelayaran mewah sememangnya akan dikuarantin selama 14 hari sebagaimana prosedur yang ditetapkan.

”Tetapi kalau penerbangan itu singgah di suatu lokasi, itu yang akan dibincang dengan Kementerian Pengangkutan,” katanya.

NUFAM juga memaklumkan pihaknya juga ada menerima aduan tentang kebimbangan anak-anak kapal yang terpaksa bekerja dalam pesawat yang padat dengan penumpang.

Amalan ini juga sama sekali melanggar peraturan KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Ini belum lagi kira. anak-anak kapal yang bertugas dengan tanpa kelengkapan yang mencukupi seperti PPE dan sebagainya, termasuk mematuhi penjarakkan sosial satu meter.

”Jadi, kami sangat berharap dan menaruh kepercayaan kebimbangan anak-anak kapal ini mendapat perhatian sewajarnya oleh KKM selari dengan tindakan yang dilaksanakan kepada orang ramai di darat,” ujar NUFAM yang mendesak syarikat-syarikat penerbangan agar tidak mengambil mudah dalam isu keselamatan, apatah lagi membabitkan nyawa pekerja. – MalaysiaGazette

KKM, MOT bincang isu anak kapal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast