Penduduk di kawasan PKPD yang menghadapi masalah untuk membeli barang keperluan harian lain seperti susu bayi, lampin bayi dan lain-lain boleh menghubungi pusat operasi.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Kerajaan mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelesaikan isu pengagihan bekalan makanan di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kegagalan penduduk menerima bekalan makanan asas daripada kerajaan mungkin berpunca daripada salah faham.

Tambahnya, kerajaan maklum mengenai perkara tersebut malah pihak berkuasa juga telah membuka pusat operasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu.

Dengan itu, penduduk yang menghadapi masalah untuk membeli barang keperluan harian lain seperti susu bayi, lampin bayi dan lain-lain boleh menghubungi pusat operasi berkenaan.

Bagaimanapun, kos perlu ditanggung oleh mereka sendiri.

“Kerajaan menanggung kos barangan makanan kering seperti beras dan sebagainya kepada rakyat Malaysia yang berada dalam kawasan PKPD. Untuk barangan lain, mereka boleh berhubung dengan pegawai di pusat operasi,” katanya semasa sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, sepatutnya tidak timbul sebarang isu yang perlu diperbesarkan kerana pegawai JKM sentiasa berada di sana untuk membantu mereka.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP DBKL di 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-4048 2212.– MalaysiaGazette