Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Operasi prosedur standard (SOP) yang dikuatkuasakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu masih terpakai sepanjang bulan Ramadan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuk operasi restoran dan kedai makan.

“Kita mahu mengurangkan pergerakan jadi jika operasi restoran dan kedai makan dilanjutkan, ia akan menyukarkan tugas polis semasa sekatan jalan raya kerana mungkin ada yang menggunakan alasan untuk membeli makanan dan sebagainya.

“Kita tidak mahu perkara ini terjadi jadi waktu operasi restoran dan kedai makan tetap sama walaupun semasa bulan Ramadan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Sejak penguatkuasaan PKP 2 pada 1 April lalu, restoran dan kedai makan tidak dibenarkan beroperasi melebihi jam 8 malam.

Bagaimanapun menurut Ismail Sabri, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara hari ini memutuskan operasi kenderaan awam dilanjutkan dari jam 4 petang hingga 10 malam berbanding lima petang hingga 10 malam sebelum ini.

“Pada bulan ramadan, ada syarikat malah kerajaan sendiri memberi waktu bekerja anjal kepada pekerja.

“Mungkin ada pekerja yang memilih untuk pulang awal semasa bulan puasa maka kita lanjutkan waktu operasi kenderaan awam pada jam 4 petang hingga 10 malam bagi memudahkan umat Islam untuk membuat persiapan berbuka,” katanya lagi.

Operasi pasar awam juga dilanjutkan dari jam 6 pagi hingga 2 petang berbanding 6 pagi hingga 12 tengahari sebelum ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast