SHAH ALAM – Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan pembatalan tiga peperiksaan awam bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tiga peperiksaan awam itu melibatkan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), Pentaksiran Hafazan al-Quran (PPTQ) dan Sijil KAFA Menengah (SKM).
Katanya, peperiksaan awam itu digantikan dengan kaedah pentaksiran lain yang akan ditentukan kelak.
“Pembatalan peperiksaan awam Jais ini dibuat selepas negara dilanda penularan wabak pandemik Covid-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Jumaat lalu, Amirudin dalam sidang media di kediaman rasminya di sini, menjelaskan kerajaan menerusi Jais akan meneliti sama ada membatalkan atau sebaliknya peperiksaan awam agama.
Ini susulan tindakan Kementerian Pendidikan membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.
Menteri Kanan, Dr. Mohd Radzi Md. Jizin dilaporkan berkata, pembatalan peperiksaan itu tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid, sama juga PT3. – MalaysiaGazette