KUALA LUMPUR – Seramai 11 individu termasuk tiga wanita ditahan kerana bermain judi mahjung di sebuah premis di Taman Selayang Utama, Batu Caves di Gombak, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi berkenaan pukul 3.15 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan, kesemua mereka yang berusia antara 47 hingga 67 tahun ditahan eskoran berjudi dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Polis tuurt merampas set mahjung dan wang tunai berjumlah RM1,861 dalam serbuan itu, ujarnya.
“Semua suspek dibawa ke Balai Polis Selayang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan lain Arifai berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki yang masing-masing berusia 35 dan 38 tahun dalam sekatan jalan raya (SJR) berasingan kelmarin dan semalam selepas didapati memiliki dadah serta daun ketum.
Katanya, dalam serbuan pertama, polis menahan lelaki berusia 35 tahun yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dalam keadaan mencurigakan sebelum menemui dua peket dadah dipercayai jenis syabu.
Tambah beliau, tangkapan kedua yang dilakukan pihaknya pula membabitkan lelaki berusia 38 tahun apabila ditemukan padanya satu bungkusan daun ketum ketika ditahan menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo.
“Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut mengikut Sekyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” ujar.
Dalam serbuan berasingan, semalam, Arifai turut memberitahu, pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20-an di sebuah rumah di Kampung Nahkoda Batu Caves, selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan curi motosikal.
“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, kami menemui sebuah motosikal Yamaha 125Z dalam keadaan tidak sempurna di ruang tamu sebelum semakan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang.
“Ketiga-tiga suspek dibawa ke Balai Polis Selayang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette