Anggota Polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia membuat pemeriksaaan pada sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 susulan penularan Wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kinrara BK5, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

SERDANG – Walaupun hari pertama umat Islam menunaikan ibadah puasa hari ini namun kepada anggota keselamatan, tugas mereka tidak berubah bagi melaksanakan sekatan jalan raya menguatkuasakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada orang ramai.

Walaupun penat bertugas secara bergilir-gilir sehingga tiga syif sejak 18 Mac lalu, pegawai dan anggota PDRM tetap komited menjalankan tugas mereka.

Walaupun sedar ancaman Covid-19 di tempat awam, demi misi memenangi jihad menghapuskan Covid-19, mereka selaku barisan hadapan terus melaksanakan tugas penguatkuasaan di atas jalan raya.

Anggota Polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia membuat pemeriksaaan pada sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 susulan penularan Wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kinrara BK5,Jalan Puchong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

Tinjauan MalaysiaGazette dalam sekatan jalan raya pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Bandar Kindara (BK) 5 mendapati pegawai dan anggota polis IPD Serdang mengharungi cabaran hari pertama ibadah puasa dengan mengekalkan momentum tugas pada tahap tinggi.

Semangat, komitmen, ketegasan dan fokus setiap pegawai dan anggota polis yang dibantu anggota tentera dalam memeriksa kenderaan satu persatu secara terperinci termasuk penunggang motosikal wajar dipuji.

Oleh kerana Bandar Puchong turut disokong beberapa kawasan perindustrian, banyak kenderaan lori melalui jalan utama itu dari arah Stesen Penyiasaran Astro ke arah Puchong namun kenderaan tetap diperiksa satu demi satu.

Anggota Polis membuat pemeriksaaan isi beg penghantar makanan pada sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 susulan penularan Wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kinrara BK5, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2020.

Pasukan polis Daerah Serdang dilibatkan dalam penugasan sekatan jalan PKP secara bergilir-gilir dalam tiga syif iaitu 8 pagi hingga 4 petang, 4 hingga 12 tengah malam dan 12 malam hingga 8 pagi.

Salah seorang pegawai polis terlibat, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, walaupun bulan puasa bermula hari ini, syif penugasan setiap pasukan polis yang ditempatkan di enam sekatan jalan raya di daerah itu tidak berubah dan dikekalkan.

“Memang hari ini ibadah puasa sudah bermula dan pegawai serta anggota PDRM juga sedang mengharungi fasa berpuasa ini sepanjang tugas PKP tanpa mengenal erti penat dengan mengekalkan momentum sikap kecekapan bertugas, integriti pada tahap tinggi.

“Tapi kita sedia bantuan makanan selain suplemen beserta vitamin untuk memastikan anak-anak buah saya sentiasa bertenaga tanpa cepat penat dan mereka bertugas bergilir-gilir ikut tiga syif selama 24 jam.

“Selain itu bagi menyokong mereka polis juga menggerakkan lebih enam skuad polis snap check pada satu masa di beberapa kawasan di daerah ini untuk menghadkan pergerakan awam  di luar.

“Anggota kami juga dibantu dengan penambahan anggota dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Selangor untuk memperkasakan lagi operasi PKP di daerah Serdang,” ujarnya sambil menegaskan tahap fasiliti dan keperluan anggotanya di SJR sentiasa diutamakan.

Menurut beliau, sepanjang pelaksanaan PKP di daerah berkenaan sejak Mac lalu, sebanyak 385 tangkapan kesalahan PKP dilakukan dan 145 daripadanya telah dikompaun RM1,000.

Bagaimanapun, sejak pelaksanaan PKP fasa ketiga bermula 15 April lalu, seperti disarankan peringkat tertinggi, pihaknya memperketatkan lagi penguatkuasaan PKP di setiap SJR apabila pesalah PKP akan direman di balai dan dituduh di mahkamah.

Setakat ini katanya, sekitar 15 peratus tangkapan PKP telah dituduh di mahkamah dan beliau tidak menolak kemungkinan SJR akan ditambah di beberapa kawasan di daerah tersebut sekiranya tahap ketidakpatuhan tidak memuaskan.

“Setakat ini tahap pematuhan PKP adalah berada antara 95 hingga 97 peratus lagi, da dengan syarat diperketatkan di fasa ketiga, maka hanya sektor essential yang dibenarkan operasi sahaja diberi pelepasan tetapi pihak lain dipantau ketat.

“Sebarang idea menambah bilangan sekatan jalan bergantung kepada situasi PKP dan pematuhan, jika selepas ini di fasa keempat ada kemerosotan dalam angka pematuhan PKP oleh masyrakat di Serdang, bilangan sekatan jalan mungkin ditambah lagi,” tegasnya.-MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast