Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sebanyak 43 kes disahkan positif Covid-19 dalam kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Bali di Kuantan, Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster PUI di sebuah pusat perubatan di Kuantan yang melibatkan golongan pesakit dan anggota kesihatan.

Katanya, kes indeks (iaitu kes ke-4684) bagi kluster PUI Bali mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia.

“Kes indeks tersebut mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1575 (iaitu abang kepada kes indeks).

“Dia telah dimasukkan ke wad angkitan pernafasan akut teruk (SARI) pusat perubatan tersebut pada 19 Mac 2020 dengan gejala demam dan jangkitan saluran pernafasan.

“Sehingga kini terdapat sebanyak 43 kes disahkan positif COVID-19 di dalam kluster ini, iaitu 30 orang sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang.

“Sembilan orang pula telah sembuh, seorang sedang dirawat di unit rawatan rapi, tiga orang telah meninggal dunia (iaitu kes ke-1575, kes ke-5064 dan kes ke-4129),” katanya pada sidang media harian di KKM, hari ini.

Jelasnya, sebanyak 2,301 ujian saringan Covid-19 telah dijalankan, melibatkan anggota kesihatan dan pesakit dari pusat perubatan tersebut.

“Daripada 43 kes yang disahkan positif di dalam kluster ini, sebanyak sepuluh orang adalah anggota kesihatan pusat perubatan.

“Langkah-langkah kawalan penularan jangkitan Covid-19 sedang giat dijalankan dengan kerjasama rapat KKM, termasuk proses dekontaminasi dan pemindahan pesakit ke hospital-hospital KKM yang berdekatan.

“Ini adalah untuk memastikan pusat perubatan tersebut selamat dan diyakini bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Berikutan itu, KKM mengingatkan semua anggota kesihatan kerajaan dan swasta tentang kepentingan untuk menggunakan alat penutup mulut dan hidung terutamanya semasa mengendalikan kes-kespenyakit seperti influenza (ILI) / SARI.

“Selain itu, pemakaian alat pelindung diri (PPE) yang sesuai semasa melakukan sebarang prosedur klinikal adalah amat penting.

“Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan turut dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan.

“Mereka kena memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial di dalam dan luar tempat kerja serta pemakaian PPE mengikut keperluan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette