Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor bersetuju dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang Baru.

Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shaari berkata, atas pelaksanaan itu, kerajaan negeri akan turut membendung penularan wabak itu di Selayang Baru.

“Kerajaan Negeri menerusi Pejabat Daerah Gombak dan Majlis Perbandaran Selayang akan memantau keadaan semasa terutama aspek bekalan makanan buat penduduk,” katanya di Twitter, hari ini.

Amiruddin berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan melaksanakan ujian Covid-19 kepada semua penduduk di zon-zon tersebut pada kadar segera bagi tujuan mengenalpasti individu-individu yang positif Covid-19.

“Kerajaan Negeri Selangor melalui Bilik Gerakan Covid-19 Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan menyelaras dan memantau pelaksanaan PKDP ini khususnya dari aspek pengurusan bekalan makanan kepada 2,500 penduduk yang terlibat dan terkesan dari pelaksanaan PKPD tersebut,” katanya.

Kerajaan hari ini memutuskan untuk melaksanakan arahan PKPD ketujuh di Kawasan Selayang Baru, Gombak, Selangor.

PKPD itu berkuatkuasa hari ini sehingga 3 Mei depan melibatkan enam zon yang telah dikenal pasti iaitu:-

Zon A : Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah

Zon B : Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru

Zon C : Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru

Zon D : Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru

Zon E : Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru

Zon F : Blok A, B dan C, Selayang Makmur.

Enam kawasan PKPD sebelum ini meliputi lapan kawasan sekitar pasar borong, kawasan di Simpang Renggam di Johor, Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion, serta kawasan sekitar Masjid India.

Manakala PKPD di Hulu Langat sudah ditamatkan pada 14 April lalu kecuali sebuah rumah dan sebuah madrasah tahfiz di kawasan itu. – MalaysiaGazette