Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan beliau tidak mengarahkan pegawainya, pegawai pentadbiran mahupun
pegawai politik menfailkan laporan polis terhadap pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, siasatan dalaman juga mendapati tidak ada pegawai terbabit membuat laporan polis walaupun atas kapasiti peribadi.

“Pihak saya turut difahamkan polis bertindak dalam bidang kuasa yang dibenarkan untuk memanggil Ustaz Ebit Lew memberikan
apa-apa keterangan yang diperlukan bagi maksud tertentu walaupun tiada laporan difailkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan tular di media sosial dakwaan seorang pegawai Menteri Besar itu membuat laporan polis menyebabkan Ebit disoal siasat di Ibupejabat Polis Bukit Aman semalam.

Berikutan dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman, Ebit mengambil keputusan tidak lagi akan membantu secara langsung golongan yang kurang berkemampuan.

“Tadi (semalam) menangis saya beri keterangan pada beberapa pegawai sebab penat kot. Serius penat sangat. Saya tak salahkan sesiapa. Saya bukan ahli politik. Saya bukan sesiapa. Cuma Cina Islam yang sayangkan Islam dan negara Malaysia.

“Saya minta maaf pada semua yer. Atas nasihat setakat ini sahajalah saya berkhidmat pada semua secara langsung. Saya cuma akan transfer duit pada orang susah. Saya teruskan dari rumah sahaja. Jangan tag saya lagi kes orang susah. Nanti habis PKP baru saya cuba bantu,” kata Ebit menerusi laman Facebook.

Mukhriz berkata, dakwaan dan tohmahan itu telah mencemarkan nama dan jawatan yang disandang beliau selain mencemar pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya sedang meneliti perkara tersebut serta menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang membuat tohmahan tersebut, khususnya laman media sosial.

Katanya, kerajaan negeri tidak menyekat pihak yang mahu membuat kebajikan demi kesejahteraan masyarakat, asalkan ia mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan termasuk peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta panduan penjagaan kesihatan bagi mengelak jangkitan COVID-19.

Sementara itu, Mukhriz merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, baik persatuan, pertubuhan badan bukan kerajaan, orang perseorangan dan Ebit Lew yang tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan pertolongan di Kedah. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.