Permandangan udara menunjukkan kesesakan lalu lintas berikutan Anggota Polis menjalankan sekatan jalan raya Ops Covid-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Lebuhraya Guthrie menghala Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan membuka permohonan bagi yang layak untuk melakukan pergerakan antara negeri bermula hari ini sehingga 1 Mei, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata beliau, berlaku sedikit kekeliruan antara tarikh yang dinyatakan oleh polis dengan yang dipersetuju oleh kerajaan.

“Isu kebenaran pulang ke kampung ni ada sedikit kekeliruan. Polis kata 1 hingga 3 Mei untuk orang ramai melakukan pergerakan antara negeri untuk tujuan yang dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebenarnya sehingga 1 Mei ini adalah tempoh pendaftaran. Orang ramai boleh mohon melalui Aplikasi Gerak Malaysia dari hari ini sehingga 1 Mei ini. Yang tidak ada aplikasi itu, boleh lapor di balai polis berdekatan.

“Selepas 1 Mei, baru kita kumpul info dan serahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), polis dan Kementerian Kesihatan untuk berbincang dan keluarkan SOP mengenai bagaimana cara kepulangan itu dilakukan. Bukan bergerak pulang bermula 1 Mei,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, polis memberi tempoh tiga hari iaitu 1 hingga 3 Mei ini untuk orang ramai pulang ke kampung.

Kata beliau, mereka yang layak boleh mengemukakan permohonan untuk membuat pergerakan antara negeri mulai 26 April melalui aplikasi Gerak Malaysia.

Menurut Ismail Sabri, beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada polis kerana telah mencadangkan beberapa SOP yang kerajaan fikir amat baik sekali.

“Bagaimanapun, semua cadangan itu akan dibincang oleh tiga bahagian, iaitu MKN, polis dan KKM. Selepas selesai berbincang, rumusan itu dibawa ke Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan.

“Dari situ baru kita akan tetapkan tarikh untuk orang ramai yang mendaftar melalui aplikasi Gerak Malaysia, bergerak pulang.

“Kita juga akan bincang pelbagai sudut, seperti bagaimana satu keluarga lima orang hendak pulang, sedangkan peraturan membenarkan seorang sahaja, bagaimana yang tidak ada kenderaan hendak pulang. Semua ini kita akan bincang dan keluarkan SOP,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.