Pegawai penjara dan anggota Unit Kawalan dan Pencegahan pada hari ke 39 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena bulan Ramadan di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2020

KAJANG – Saringan kesihatan banduan baru yang diterima masuk ke penjara diperketatkan termasuk dikuarantin selama 28 hari di blok khas sebelum dipindahkan ke sel biasa.

Ia bertujuan bagi menghalang kemungkinan penularan wabak Covid-19 daripada menjangkiti banduan yang sedia ada.

Malaysia Gazette baru-baru ini berpeluang secara eksklusif menyaksikan bagaimana pegawai dan wadar Penjara Kajang melakukan pemeriksaan terhadap banduan baru termasuk yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di penjara berkenaan.

Gelagat sebahagian banduan yang melanggar PKP menunggu untuk diperiksa sebelum memasuki penjara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-35 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2020

Untuk rekod, Penjara Kajang menerima pesalah PKP yang telah dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah.

Pengarah Penjara Kajang, TKP. Abdul Halim Ma Hasan berkata, setibanya di pintu utama, banduan baru ini akan dibariskan terlebih sebelum setiap seorang daripada mereka diberikan plastik khas.

Pegawai penjara membuat pemeriksaan ke atas sebahagian banduan yang melanggar PKP sebelum memasuki penjara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-35 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2020

Plastik ini, katanya, bagi membolehkan setiap banduan baru ini memasukkan segala barangan peribadi seperti dompet, telefon bimbit, jam dan lain-lain barang milik mereka untuk disimpan dengan selamat.

Kata Abdul Halim, barisan wadar dari Unit Pegawai Pemeriksaan yang siap berpakaian perlindungan keselamatan PPE kemudiannya mula membuat pemeriksaan awal suhu badan setiap banduan tersebut.

Sebahagian banduan yang melanggar PKP menjalani saringan kesihatan sebelum memasuki penjara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-35 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2020

Ujarnya, seorang Pegawai Perubatan (MO) atau Pembantu Pegawai Perubatan (MA) akan ditugaskan bagi menguruskan status kesihatan banduan baru tersebut bertujuan untuk menentukan sama ada mereka mempunyai simptom COVID-19 atau tidak.

Tambahnya, sekiranya terdapat mana-mana banduan baru tersebut mempunyai simptom Covid-19, banduan tersebut akan dirujuk kepada Hospital Kajang untuk tindakan selanjutnya.

“Sebaik sahaja selesai saringan kesihatan tersebut, barulah proses dokumentasi penerimaan masuk akan dilakukan oleh pegawai bertugas.

“Sebelum itu, kesemua banduan tadi diminta untuk mandi dan membersihkan diri mereka, rambut mereka akan digunting serta diberi pakaian penjara untuk dipakai,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Sebahagian banduan yang melanggar PKP dibotakkan kepalanya sebelum memasuki penjara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-35 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2020

Mengulas lanjut, kata Abdul Halim, semasa proses dokumentasi, gambar dan cap cari banduan ini akan diambil.

Selesai segala proses, katanya, barulah mereka akan dimasukkan ke blok kuarantin pertama selama 14 hari.

Setiap hari dalam tempoh tersebut, ujarnya, suhu badan mereka akan diambil tanpa terkecuali selain tahap kesihatan mereka akan dipantau oleh petugas khas.

Gelagat sebahagian banduan yang melanggar PKP di dalam penjara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-35 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2020

Ujar Abdul Halim, ketika tempoh ini juga, pemantauan tahap kesihatan banduan akan dilakukan secara terperinci.

“Selepas tamat 14 hari pertama, banduan-banduan baru ini akan dipindahkan sekali lagi ke sebuah lagi penempatan kuarantin untuk tempoh tambahan lagi dua minggu.

“Dalam erti kata lain, hanya selepas 28 hari berada dalam tempoh kuarantin, barulah banduan-banduan baru ini akan dipindahkan ke sel biasa bersama banduan-banduan yang sedia ada,” tegasnya.

Temubual bersama Pengarah Penjara Kajang, TKP Abdul Halim Ma Hasan pada hari ke 39 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena bulan Ramadan di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2020

Kata Abdul Halim, semua langkah ini terpaksa diambil kerana pihak penjara tidak tahu sama sejauh mana status kesihatan banduan baru ini.

Justeru, katanya, mereka tidak ada pilihan lain selain daripada mengetatkan saringan kesihatan demi keselamatan petugas dan banduan-banduan yang ada di penjara ketika ini. – Malaysia Gazette

VIDEO BERKAITAN :