Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penuntut di universiti awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti  bakal memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat mulai esok.

Bagaimanapun menurut Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, hanya pelajar yang berada di zon hijau dan destinasi ke zon hijau sahaja dibenarkan pulang.

“Kecuali dari zon merah dan kuning. Pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, Kementerian Pengajian Tinggi bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA dan pihak polis untuk membuat persiapan rapi.

KKM dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) akan bertanggungjawab membuat saringan kesihatan kepada pelajar sebelum pergerakan pulang.

“Pelajar diingatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial (social distancing), memakai topeng muka (face mask) di sepanjang perjalanan dan mengamalkan kebersihan dengan memakai hand sanitizer,” katanya.

KPT tambah Noraini menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelajar dari pusat pelepasan di IPT yang telah dikenalpasti pulang ke destinasi masing-masing.

“Aspek keselamatan dan kesihatan pelajar adalah prioriti utama ketika pergerakan pelajar berlangsung. Setiap perkhidmatan pengangkutan akan diiringi oleh seorang pegawai perhubungan (liaison officer) yang akan mempunyai senarai lengkap pelajar,” ujarnya.

Katanya lagi, KPT telah menyediakan garis panduan sebagai rujukan kepada agensi berkaitan, pelajar dan ibu bapa dalam proses pergerakan pelajar IPT ini.

Bilik Gerakan KPT akan beroperasi selama 24 jam bagi membantu para pelajar dan ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini.

Sebarang pertanyaan sila hubungi talian hotline 03-8870 6777/6949/6628/6623/6124.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast