UMNO PH Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Mohd Sharkar Shamsudin

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Temerlong, Pahang bersedia menerima kehadiran pencemarah bebas, Ustaz Ebit Liew ke kawasan itu untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Ketuanya, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kesediaannya menerima kedatangan penceramah mualaf itu sekiranya beliau tidak diterima oleh mana-mana pihak.

“Kepada Ustaz Ebit Liew, jika tempat lain tidak mahu terima kehadiran ustaz untuk menghulurkan bantuan, Temerloh sentiasa membuka pintu kepada ustaz, yang pernah berceramah di Lanchang pada awal tahun 2018.

“Jika kita tidak mampu membantu orang memerlukan, bersama-samalah kita hargai usaha orang lain untuk membantu.

“Datanglah lagi ke Temerloh Ustaz Ebit Liew,” katanya dalam status yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Ebit Liew dikecam beberapa pihak termasuk dalam golongan bergelar ustaz berikutan tindakannya bermurah hati menghulurkan bantuan kepada orang miskin.

Beliau juga dipanggil polis untuk mengambil keterangan berikutan ada laporan mendakwa ahli perniagaan itu melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Mohd Sharkar yang merupakan Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Peladagang Negeri Pahang, Ebit Liew adalah seorang individu yang cukup ‘simple’ dan baik perwatakannya.

Kata beliau, umum pasti tahu Ebit Liew adalah seorang mualaf yang setiap kali berceramah, penyampaiannya penuh dengan pengisian dan apa yang penting sangat mudah difahami.

“Kata-kata yang diungkapkan oleh Ustaz Ebit Liew bagi saya sangat bermakna, ia ‘simple’, tetapi begitu mendalam maknanya.

“Selain berceramah, beliau juga kerap tampil menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan tanpa mengira kaum dan agama, saya percaya tidak semua mualaf ataupun orang Islam boleh buat seperti apa dilakukannya,” katanya.

Bagaimanapun, dengan kesal beliau menyatakan, tindakan Ebit Liew itu dikritik dan disalahertikan oleh segelintir pihak.

Atas faktor itu, katanya, Ebit Liew berkongsi kesedihan kerana niatnya disalaherti dan membuat keputusan berehat daripada memberi bantuan secara langsung kepada golongan memerlukan.

“Saya berpandangan, kisah ustaz Ebit Liew membantu golongan miskin dengan cara memuat naik di laman sosial sekadar berkongsi rasa kasih sayang dengan semua.

“Namun, mungkin tindakan itu mengundang rasa kurang senang segelintir pihak, tetapi niat beliau cukup murni,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast