Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR – Kelibat seorang remaja berusia 19 tahun yang mencurigakan bersama kereta Volkswagen yang dipandunya di hadapan sebuah kondominium di Jalan Ipoh, ibu negara membawa kepada tangkapan empat suspek mengedar dan menjual dadah di ibu negara.

Menerusi tiga serbuan di lokasi berbeza pada Rabu lalu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk pil ekstasi yang dianggarkan berjumlah RM885,526, wang tunai serta kenderaan yang digunakan suspek dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM1.098 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pada pukul 9.40 pagi Rabu lalu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Sentul telah menahan sebuah kereta Volkswagen di hadapan sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini.

Polis daerah Sentul berjaya merampas pelbagai jenis dadah, wang tunai dan kenderaan bersama empat suspek pengedar dadah berjumlah keseluruhannya Rm1.098 juta dalam tiga serbuan di Jalan Ipoh 22 April lalu.

“Hasilnya, polis berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki Cina yang berusia 19 tahun dan pemeriksaan lanjut di dalam kereta tersebut, pihak Polis menemui dadah jenis pil ecstasy yang dianggarkan bernilai RM240,000.00.

“Pihak polis turut merampas wang tunai sebanyak RM270 dan kereta jenis Volkswagen yang dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil siasatan awal, tambah beliau, pihak polis mendapati suspek telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ekstasi, erimin 5 dan ketamin sejak awal Oktober 2019 di sekitar Lembah Kelang.

Menurut beliau, urusan jual beli dadah dan pembayaran dilaksanakan suspek dengan pelanggan secara mendeposit wang ke dalam akaun bank.

“Bertindak atas hasil siasatan dan dipandu arah oleh suspek pertama, pada jam lebih kurang 10.20 pagi hari yang sama, polis telah membuat serbuan kedua di sebuah rumah yang terletak di Batu Caves, Selangor.

“Hasil pemeriksaan di ruang tamu rumah tersebut, pihak Polis telah menjumpai Erimin 5 (1,336 biji) (dengan anggaran berat 2,578 gram), ketamin (2,600 gram), pil ekstasi (221 biji), syabu (45.66 gm) dan pil erimin 5 (780 biji dengan anggaran berat 213.43 gm) yang dianggarkan bernilai RM645,526 bersama wang tunai sebanyak RM11,344 disyaki hasil jualan dadah.

“Dalam serbuan ketiga pada jam 6.30 petang di sebuah rumah yang terletak di Taman Selayang Baru, Batu Caves, Selangor, polis juga berjaya menahan tiga orang lelaki dan seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 31 tahun.

“Hasil pemeriksaan terhadap semua suspek dan rumah tersebut tidak menjumpai dadah namun polis telah merampas wang tunai berjumlah RM26,261, sebuah kereta jenis Mercedes E 200 bernilai RM70,000 dan sebuah kereta jenis Honda HRV bernilai RM65,000,” jelasnya.

Kata beliau, hasil siasatan yang dilakukan ke atas semua suspek, salah seorang suspek yang berusia 31 tahun telah mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan mendapat bekalan dari seorang lelaki Cina.

“Urusan jual beli dadah dibuat menggunakan aplikasi WeChat dan bayaran dibuat semasa penghantaran.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek ditahan reman selama 7 hari bermula 23 April 2020 sehingga 29 April 2020.

“Pihak polis kini giat mengesan beberapa orang lagi individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan Lembah Klang ini.

Polis Kuala Lumpur menyeru oramg ramai yang mempunyai sebarang maklumat dadah supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette