Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui, Hulu Langat yang melibatkan pusat tahfiz dan sebuah rumah disambung seminggu lagi sehingga 5 Mei ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya hari ini.

“Selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, PKPD yang melibatkan sebuah pusat tahfiz dan sebuah rumah di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor akan disambung seminggu lagi sehingga 5 Mei ini,” katanya semasa sidang media hari ini.

Kerajaan pada 30 Mac lalu melaksanakan PKPD di kawasan Sungai Lui yang melibatkan tujuh kampung akibat penularan wabak Covid-19.

Artikel berkaitan: Proses disinfeksi Sungai Lui bermula

Bagaimanapun, pada 14 April lalu PKPD tersebut ditamatkan kecuali Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23 Kampung Paya Lebar.

Tambah Ismail Sabri, PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor pula akan tamat esok.- MalaysiaGazette