Pasukan operasi disinfeksi kini memasuki kawasan Sekolah Rendah Agama Sungai Lui.

HULU LANGAT – Proses disinfeksi kawasan Sungai Lui bermula hari ini dengan meliputi empat kawasan utama.

Ia dimulakan jam 9 pagi tadi dengan melibatkan 53 anggota terdiri daripada Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), dan Alam Flora.

Turut terlibat adalah Pasukan Bomba Sukarela, Pejabat Kesihatan Daerah, Pasukan Unit Bencana.

Antara kawasan yang akan menjalani proses nyahkuman adalah pos kawalan bomba Kampung Sungai Lui, Masjid Ar Rahman, Sekolah Rendah Agama Sungai Lui dan Klinik Desa Sungai Lui.

Sebanyak 3,000 liter bancuhan bahan kimia akan digunakan dalam proses disinfeksi, hari ini.

Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor merupakan salah satu kawasan zon merah di Selangor yang dilaksanakan Perintah Kawasan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 13 April.

PKPD di kawasan itu membabitkan 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah. Ini termasuk tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu. -MalaysiaGazette